Buat
mereka yang tidak pernah mengenali ataupun mendengar tentang Allayarham
Prof. Datuk Dr. Ismail Md Salleh, beliau merupakan bekas senator dan
juga pakar dalam bidang ekonomi.
Anak kelahiran Pasir Mas
Kelantan itu juga merupakan insan buta pertama di dunia yang menamatkan
pengajian peringkat doktor falsafah dan ditempatkan namanya dalam buku
Guinness Book of Records.
Ia sudah semestinya memberikan
satu tamparan hebat buat kebanyakan dari kita yang memandang Orang
Kelainan Upaya (OKU) sebagai produk tidak berguna dan menyusahkan
masyarakat.
Kecacatan atau kekurangan diri
mereka dianggap sebagai beban dan ramai yang berasa jijik untuk
mendekati mereka. Malah, sebelum ini mereka didiskriminasi dari menerima
pendidikan secara hollistik kerana dianggap sebagai membazirkan
pendapatan negara. Dari sudut pekerjaan pula, mereka hanya diberi ruang
untuk menjaga stor dan tandas atau dibiarkan mengemis di jalanan.
Hakikatnya, setiap orang baik
yang normal mahupun OKU sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangan
masing-masing. Orang yang normal juga sebenarnya mempunyai ketidak
sempurnaan mereka tetapi tidak dilihat oleh orang awam berbanding
golongan OKU yang mana ketidak sempurnaan mereka tampak jelas di mata
masyarakat.
Namun, di sebalik ketidak sempurnaan itu, mereka juga mampu untuk memberikan sumbangan pada dunia andai diberi peluang.
Selain daripada individu yang
saya perkenalkan tadi, ramai lagi golongan kelainan upaya yang berjaya
di persada dunia setelah diberi ruang dan peluang untuk mengasah bakat
dan mengembang kelebihan yang ada pada mereka. Antaranya termasuklah
Helen Keller, Franklin Delano Roosevelt, Ludwig van Beethoven, Woodrow
Wilson dan Stephen Hawking.
Dalam Islam sendiri, tidak
pernah kita diajar untuk mendiskriminasi golongan ini. Sirah juga telah
menunjukkan betapa Rasulullah S.A.W sendiri pernah ditegur oleh Allah
S.W.T apabila mengutamakan pemimpin Quraisy yang kaya berbanding seorang
lelaki buta iaitu Abdullah bin Ummi Maktum sewaktu beliau berdakwah.
Peristiwa itu dicatat di dalam
surah A’basa. Kisah di sebalik penurunan ayat ini diriwayatkan di dalam
hadis oleh at-Tarmidzi dan al-Hakim yang bersumber dari Aisyah dan Ibnu
Ya’la yang bersumber dari Anas.
Selain itu, Allah S.W.T juga menegaskan bahawa manusia ini dicipta dalam keadaannya yang sebaik-baiknya.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . [surah at-Tin: ayat 4]
Jika kita cuba renung ayat ini
dan ambil ibrah (pengajaran) darinya, maka kita akan dapati bahawa Allah
adalah sebaik-baik pencipta. Seburuk manapun seseorang manusia, mereka
tetap mempunyai tanda-tanda kebesaran Allah dan mampu untuk membangun.
Oleh itu, mengapa kita harus
mendiskriminasi golongan kelainan upaya ini? Sudah tiba masanya untuk
kita membuang persepsi negatif terhadap mereka dan membuka ruang untuk
mereka menjalani kehidupan sama seperti kita. Ayuh kita bantu mereka
untuk menggegar dunia!
No comments:
Post a Comment